JANUARI 2006 & FEBRUARI 2006
· 1 Januari – Seperti tahun-tahun yang lalu PESILA dengan kerjasama Selangor Buddhist Association (SBA) menganjurkan upacara saibat Tahun Baru 2006 di Wat Buddha Jayanti. Para ahli PESILA dan penganut Buddhist yang datang agak ramai sebagaimana tahun-tahun yang lalu.
· 10 Januari – Pemimpin PESILA dan ahli-ahli (khususnya PIBG) menghadiri jemputan ke majlis hari jadi Than Phian di Petaling Jaya.
· 17 Februari – Melalui Presiden SBA, Sdr. Eh Pon, Setiausaha PESILA diminta untuk mengeluarkan surat sokongan kepada lima orang Than dan Phra serta seorang Mechi dari Kelantan untuk dimajukan kepada Kedutaan Republik Rakyat China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan visa lawatan ke negara berkenaan. Selepas surat permohonan dan surat sokongan dikemukakan, kesemua mereka diberikan visa dan dibenarkan melawat negara berkenaan.
MAC 2006 & APRIL 2006
· 10 Mac – Presiden PESILA, Presiden SBA, Setiausaha PESILA, Khru Suwing dan Khru Kancana bertandang ke Kedutaan Diraja Thailand di Jalan Ampang untuk menghadiri jemputan makan tengahari daripada isteri Duta Besar Diraja Thailand, di samping memperkenalkan PESILA kepada Duta yang baru, terutamanya tentang pendidikan Bahasa Thai/Dhamma. Pertemuan berjalan dalam suasana yang mesra dan positif.
· 25 Mac – Kumpulan Kesenian PESILA mengarak pengantin baru anak seorang rakan berketurunan Cina dengan seorang British (Miss Nantenee Onyang & Mr. Jeffry Canning) di Prince Hotel, Kuala Lumpur. Perarakan ini disaksikan oleh keluarga pengantin yang datang dari Britain, Kanada, Australia dan Thailand.
· 26 Mac – Susulan daripada lawatan ke Kedutaan Diraja Thailand pada 10 Mac yang lalu, Duta Besar Diraja Thailand bersama 20 orang rombongannya datang ke Wat Buddha Jayanti untuk melawat Sekolah Bahasa Thai/Dhamma dan menyumbangkan mesin fotostat serta mesin binding kepada PIBG sekolah.
· 6 April – Upacara sembah guru klong jau diadakan di Samnak Phromniwars. Majoriti anak-anak murid guru Natasin hadir walaupun Kuala Lumpur dilanda hujan lebat dan bajir kilat serta jalan raya sesak di mana-mana. Upacara berjalan lancar.
· 17 April – Kumpulan Kesenian PESILA dijemput untuk paluan klong jau mengalu-alukan kedatangan para Duta dari seluruh Asia Pasifik sempena makan malam songkran yang dianjurkan oleh Kedutaan Diraja Thailand di Restoran Bangkok Jazz, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
MEI 2006 & JUN 2006
· 20 Mei – Dengan kerjasama Presiden SBA, Eh Pon, Setiausaha PESILA menguruskan acara sanghadana seorang sahabat kepada ahli seumur hidup PESILA, Khor Tik Seong yang meminta agar Presiden dan Setiausaha PESILA membantunya dalam cara-cara untuk thambun kepada mendiang ibunya. Beberapa hari selepas upacara itu, beliau melahirkan rasa berpuashati dan berterima kasih kerana “menunjukkan jalan” untuk melapangkan jiwanya.
· 21 Mei – Presiden, Setiausaha, Bendahari, AJK Eh Dom Eh Dam bersama-sama Pemeriksa Kira-kira Chua Sing Guan serta ahli PESILA Bun Ting Iput dan Khor Tik Seong bertandang ke rumah Pak Heng di Ampang Tasik Tambahan, Selangor. Beliau diserang penyakit angin ahmar ringan. [Pak Heng adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Kumpulan Klong Jau PESILA kepada arwah Seniman Negara Hamzah Awang Hamat dan Pak Nasir (Adiguru Wayang Kulit di Akademi Seni Budaya dan Warisan Negara – ASWARA), sehingga nama Kumpulan Kesenian PESILA menjadi gah seperti sekarang]. PESILA menyumbangkan bahan makanan dan minuman kepada beliau dengan tidak melibatkan wang daripada kantung PESILA sendiri, tetapi disumbangkan oleh Khor Tik Seong, Presiden PESILA dan Samnak Phromniwars.
· 20 Jun – Atas permintaan penduduk Kampung Banggol, Kampung Padang dan Kampung Kolam, Setiausaha PESILA mengutuskan surat sokongan kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan di Kota Bharu, agar jalan di atas tebing parit taliar KADA Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas diturap tar. Surat ini juga turut diberikan salinan kepada (s.k.) YBM Tengku Razaleigh Hamzah, Penaung PESILA; YB Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia; YB Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia; YB Datuk Seri Panglima Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan; YBhg Datuk Abd. Rahim Ab. Rahman, Ketua Bahagian UMNO Pasir Mas dan YB Haji Mohd. Fauzi Mohamad, ADUN Tendong, Pasir Mas.
JULAI 2006 & OGOS 2006
· 4 – 8 Julai – Citrawarna Malaysia 2006. PESILA tidak terlibat secara langsung dalam program ini, tetapi turut menyediakan kostum, klong jau dan jham phra kepada peserta Etnik Siam Malaysia. Peserta tahun ini seramai 200 orang yang terdiri daripada peserta dari Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Peserta Kelantan dan Terengganu berjumlah 41 orang.
· 27 & 28 Ogos – Susulan surat sokongan daripada Setiausaha PESILA kepada Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan pada 20 Jun 2006, (iaitu kira-kira dua bulan dan satu minggu) jalan di atas tebing parit taliair KADA Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan diturap tar, selepas 49 tahun Malaysia merdeka! Malah kemudahan tar ini juga turut disambung dari tebing taliair sehingga ke Masjid Kampung Gelang Mas, melalui perkampungan orang-orang Melayu.
· 31 Ogos – PESILA tidak terlibat dalam Perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini, kerana sambutannya diadakan di Kuching, Sarawak.
SEPTEMBER 2006 & OKTOBER 2006
· 3 September & 17 September – PESILA dengan kerjasama SBA menganjurkan upacara Sai Pret dan Song Pret. Upacara ini mendapat sambutan menggalakan daripada ahli-ahli PESILA dan kaum Siam sekitar.
· 17 September – Selepas upacara Song Pret dan Sanghadana, anak-anak murid Sekolah Bahasa Thai/Dhamma, para guru dan ibubapa dijemput ke Kedutaan Diraja Thailand bagi menyaksikan pertunjukan dan persembahan kebudayaan daripada Kumpulan Natasin Phatthalung, Thailand. Penonton yang hadir agak ramai, sehingga di luar jangkaan pihak penganjur. Murid-murid Sekolah Bahasa Thai/Dhamma kita terbukti tertarik dengan wayang gedek hidup yang dilakonkan.
NOVEMBER 2006 & DISEMBER 2006
· 5 November – Loy Krathong di Port Dickson yang dianjurkan oleh Wat Buddha Jayanti, Wat Meh Liew dan Samnak Phromniwars mendapat sambutan yang baik daripada kaum kerabat. PESILA tidak menganjurkan program ini pada tahun ini, tetapi seperti tahun-tahun lalu, Setiausaha PESILA membantu memohon permit polis untuk pesta berkenaan.
· 13 November – Mesyuarat Pertama Perarakan Di-Raja sempena tamat tempoh pemerintahan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang ke-X11 di Istana Budaya. PESILA diwakili oleh Presiden dan Setiausaha.
· 30 November – Mesyuarat Kedua Perarakan Di-Raja di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa). PESILA diwakili oleh Setiausaha.
· 5 Disember – AJK PESILA menghadiri jamuan sempena Hari Kebangsaan Thailand di Hotel Nikko bersama-sama Presiden SBA dan para jemputan yang lain..
· 4 – 8 Disember – Latihan Perarakan Diraja di Stadium Titiwangsa, Taman Tasik Titiwangsa.
· 9 – 11 Disember – Latihan dan raptai Perarakan Diraja di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Kompleks yang terlalu ketat kawalan keselamatannya kerana ia dikhaskan untuk Ketua-Ketua Negara dan Raja-Raja sahaja.
· 12 Disember – Perarakan Diraja di Kompleks Bunga Raya, KLIA. Seramai 10 orang peserta PESILA terlibat, dengan dua orang pegawai pengiring.
· 14 Disember – Mesyuarat Pertama “Bekwoh Anok Kelate” di pejabat Co-Share, Pusat Bandar Damansara (tempat lahir sesi percambahan idea bagi memajukan negeri Kelantan, iaitu Majlis Kemajuan Kelantan atau MKK). PESILA diwakili Presiden, Setiausaha dan AJK Eh Dom Eh Dam.
· 20 Disember – Mesyuarat Kedua “Bekwoh Anok Kelate” di pejabat Co-Share. PESILA diwakili Presiden, Setiausaha dan AJK Eh Dom Eh Dam.
· 23 Disember – Majlis Santapan Di-Raja bersama KDYMM Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan DYMM Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis binti Al-Marhum Tengku Abdul Hamid sempena menyambut ulang tahun Keputeraan KDYMM Al-Sultan Kelantan yang ke-57, di Kuala Lumpur Convention Center, KLCC. Lima pemimpin PESILA hadir, iaitu Presiden, Setiausaha, Bendahari, AJK Eh Dom Eh Dam dan Eh Wiang Eh Tet.
· 31 Disember – Program sambutan Tahun Baru dianjurkan oleh PIBG Sekolah Bahasa Thai/Dhamma di Wat Buddha Jayanti dianjurkan seperti biasa, dengan pengisian persembahan murid-murid sekolah, persembahan ibu bapa, acara tukar-tukar hadiah dan cabutan bertuah. Majlis berakhir selepas Phra Sanit Cakkadhammo merenjis air tawar pada jam 12.00 pagi..
SEPANJANG TAHUN
· Upacara keagamaan yang dicetuskan di peringkat awal penubuhan PESILA, iaitu sanghadana (kerjasama PESILA/SBA) juga terus diadakan tiap-tiap Ahad awal bulan sepanjang tahun 2006 dan sebagai kesinambungan kepada tahun-tahun lalu, dalam bulan phansa, sanghadana diadakan tiap-tiap hari Ahad. Mereka yang datang untuk upacara ini dapat dibanggakan jumlahnya.
· Dengan kerjasama Presiden SBA, Eh Pon Awang Din, upacara thamwat chau oleh para ahli dan pengikut Buddhist yang lain pada setiap hari Ahad jam 10.30 - 11.00 pagi sepanjang tahun 2006 juga terus berjalan dengan baik.
· Sekolah Bahasa Thai/Dhamma (kerjasama PESILA/SBA) yang diadakan tiap-tiap Ahad juga terus berjalan lancar, malah sekolah juga menerima tambahan pelajar dari semasa ke semasa.
II. SUMBANGAN & KEBAJIKAN AHLI SERTA KELUARGA AHLI
· Kelahiran – Tidak ada ahli PESILA yang mendapat anak pada tahun ini.
· Kahwin – Tidak ada ahli PESILA yang berkahwin pada tahun ini.
· Sakit – Tidak ada ahli atau keluarga ahli PESILA yang diberi sumbangan kerana memasuki hospital pada tahun ini.
· Kematian – PESILA memberi sumbangan kepada dua orang ahli kerana kehilangan orang tua mereka, iaitu Eh Lip Tek dan Aklin Chau Chan (Theng).
Aktiviti 2005
· 1 Januari – Seperti tahun-tahun yang lalu PESILA dengan kerjasama Selangor Buddhist Association (SBA) menganjurkan upacara saibat Tahun Baru 2005 di Wat Buddha Jayanti. Para penganut Buddhist yang datang agak ramai sebagaimana tahun-tahun yang lalu. Lebih membanggakan, pada tahun ini PESILA turut dapat mengumpulkan wang “pohon bunga” sebanyak RM 1,610.00 bagi Tabung Tsunami yang dilancarkan pada 30 Disember 2005 di Wat Buddha Jayanti.
· 7 Januari – Bersempena dengan hari terakhir H.E. Chaisiri Anamarn, Duta Besar Thailand ke Malaysia, PESILA diwakili Setiausaha dan SBA diwakili Presidennya menyerahkan sumbangan untuk Tabung Tsunami Thailand di Kedutaan Diraja Thailand, Jalan Ampang. PESILA menyumbangkan RM 1,000.00 dan SBA menyumbangkan RM 3,000.00.
· 11 Januari – Presiden, Setiausaha, Bendahari dan AJK PESILA Eh Dom Eh Dam serta Chau Dam (Samnak Phromniwars) membuka Donation Box Tabung Tsunami, yang turut dilancarkan pada 30 Disember 2005 di Samnak Phromniwars. Jumlah terkumpul daripada Donation Box berkenaan ialah RM 1,929.10.
· 12 Januari – Presiden dan Setiausaha PESILA mengunjungi Balai Berita, NST di Jalan Riong, Bangsar dan menyerahkan wang sumbangan Tabung Tsunami Malaysia berjumlah RM 4,000.00. Iaitu RM 2,539.10 dari Tabung Tsunami yang dilancarkan pada 30 Disember 2005 (“pohon bunga” – RM 610.00 & Donation Box – RM 1,929.10), RM 1,000.00 sumbangan Chau Dam (Samnak Phromniwars) dan RM 460.90 dari Tabung PESILA sendiri.
MAC 2005 & APRIL 2005
· 5 Mac – Persembahan di Laman Seni, Istana Budaya. Kumpulan Kesenian PESILA diminta untuk membuat dua kali persembahan, iaitu pada pukul 10.00 pagi dan 12 tengah hari. Persembahan ini melibatkan penari sahaja, tanpa kumpulan klong jau. Para peserta diberi makan/minum pagi dan tengahari.
· 17 April – Songkran di Wat Buddha Jayanti. Para ahli PESILA bersama-masa murid-murid Sekolah Bahasa Thai/Dhamma serta para penganut Buddhist yang lain sama-sama memeriahkan majlis ini.
MEI 2005 & JUN 2005
· Kumpulan Kesenian PESILA terpaksa menolak dengan baik dua jemputan untuk membuat persembahan di Istana Budaya, iaitu pada bulan Ogos dan Disember, kerana ketiadaan penari dewasa dan persembahannya pula pada siang hari.
· Demikian juga dengan satu jemputan untuk membuat persembahan pada bulan Ogos nanti daripada Perpustakaan Negara Malaysia yang terpaksa ditolak dengan baik oleh Kumpulan Kesenian PESILA kerana masalah ketiadaan penari dewasa dan persembahannya pula pada siang hari.
JULAI 2005 & OGOS 2005
· 17 Julai – PIBG Sekolah Bahasa Thai/Dhamma membawa murid-murid ke Desa Water Park. Tiket untuk para murid dan guru-guru masuk ke taman tema air berkenaan disumbangkan oleh SBA. Murid-murid yang berada di sana sehari suntuk cukup seronok dan meminta agar diadakan lagi program seumpama itu.
· 31 Ogos – Hari Kebangsaan Malaysia Ke-48; PESILA tidak terlibat dalam perarakan atau persembahan Hari Kebangsaan pada tahun ini, malah kaum Siam keseluruhannya juga tidak terlibat. Ini kerana peserta perarakan dan persembahan padang pada tahun ini kebanyakannya melibatkan murid-murid sekolah di sekitar Lembah Klang, di samping menampilkan kaum-kaum utama sahaja dan tidak melibatkan kaum-kaum minoriti.
SEPTEMBER 2005 & OKTOBER 2005
· 3 September – Perarakan dan persembahan untuk pengantin (Eh Phoo & Praveenda) di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina), Jinjang, Kuala Lumpur. Majoriti para pemimpin dan ahli PESILA hadir bersama-sama kaum kerabat dan keluarga pengantin, termasuk dari kampung di Kelantan.
· 18 Sept. & 2 Oktober – Seperti tahun-tahun sebelum ini dengan kerjasama SBA, PESILA turut mengadakan upacara Sai Pret dan Song Pret di Wat Buddha Jayanti. Ahli PESILA dan kaum Siam yang hadir pada kedua-dua hari berkenaan masih dapat dibanggakan jumlahnya.
· 23 Oktober – Kathina di Wat Buddha Jayanti – Perarakan Kathina di dahului oleh paluan klong jau oleh murid-murid Sekolah Bahasa Thai/Dhamma, sebagaimana pada thaun-tahun yang lalu.
NOVEMBER 2005 & DISEMBER 2005
· 6 November – Kathina di Wat Thai Chetawan Petaling Jaya. Kumpulan Kebudayaan PESILA dijemput untuk mengetuai perarakan dengan paluan klong jau.
· 13 November – Loy Krathong di Port Dickson. PESILA tidak menganjurkan pesta ini, tetapi membantu Wat Buddha Jayanti, Wat Meh Liew dan Samnak Phromniwars dalam menguruskan permit daripada pihak polis dan urusan keselamatan pesta.
· 19 & 20 November – Pesta Loy Krathong dan Phapa Samakkhi di Wat Sungai Soi, Kuantan Pahang. Phapa Samakkhi mengumpul wang berjumlah RM 5,046.20.
· 4 Disember – Mesyuarat Agung PESILA KE-5, dihadiri oleh 44 orang ahli dan dua orang pemerhati. Mesyuarat berjalan lancar dan semua AJK lama dilantik semula, kecuali tempat AJK yang kosong dilantik daripada para ahli yang hadir pada hari ini. AJK baru yang dilantik ialah Awing Chau Cheng.
· 21 Disember – Presiden, Naib Presiden, Setiausaha, Bendahari dan AJK PESILA, Eh Wiang Eh Tet bersama-sama lima orang pemimpin Persatuan Cina Peranakan Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (PCPK) menghadiri jemputan Makan Malam Amal Persatuan Anak-anak Kelantan Darul Naim Malaysia (PAKATAN) di Dewan Ballroom Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Tetamu kenamaan majlis ini ialah YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia selain turut dihadiri oleh semua lapisan pemimpin yang berasal dari Kelantan, termasuklah Presiden PAKATAN YBhg Datuk Dr. Noordin Abd. Razak, Pengerusi Majlis Makan Malam PAKATAN 2005, YB Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Panglima Annuar Musa.
· 31 Disember – Sebagaimana tahun lalu, majlis sambutan Tahun Baru dianjurkan oleh PIBG Sekolah Bahasa Thai/Dhamma di Wat Buddha Jayanti, dengan pengisian persembahan murid-murid sekolah, persembahan ibu bapa, nyanyian karaoke oleh ibu bapa, acara tukar-tukar hadiah dan cabutan bertuah. Majlis berakhir selepas Phra Sanit Cakkadhammo merenjis air tawar.
SEPANJANG TAHUN
· Upacara keagamaan yang dicetuskan di peringkat awal penubuhan PESILA, iaitu sanghadana (kerjasama PESILA/SBA) juga terus diadakan tiap-tiap Ahad awal bulan sepanjang tahun 2005, manakala dalam bulan phansa, sanghadana diadakan tiap-tiap hari Ahad. Amalan ini sudah menjadi rutin pada tiap-tiap tahun dan ahli-ahli serta kaum kerabat yang datang untuk upacara ini tidak surut jumlahnya.
· Demikian juga dengan upacara thamwat chau yang diadakan pada setiap hari Ahad jam 10.30 - 11.00 terus berlangsung sepanjang tahun 2005, iaitu sesudah murid-murid Sekolah Bahasa Thai/Dhamma naik ke kelas masing-masing. Upacara ini adalah dengan kerjasama Presiden SBA, Eh Pon Awang Din.
· Sekolah Bahasa Thai/Dhamma (kerjasama PESILA/SBA) yang diadakan tiap-tiap Ahad juga terus berjalan lancar seperti biasa sepanjang tahun 2005.
SUMBANGAN & KEBAJIKAN AHLI SERTA KELUARGA AHLI
· Kelahiran – PESILA mengucapkan tahniah dan telah memberi sumbangan hamper kepada seorang ahli PESILA yang melahirkan anak pada tahun 2005. Beliau ialah Soony Eh Yit. Selamat Panjang Umur!
· Kahwin – PESILA juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahlinya yang berkahwin pada tahun ini. Mereka ialah Eh Sin Khun Kew, Eh Phoo Eh Suk, Eh Cha Eh Dam, Eh Phong Areang dan Nat Rong Eh Par. PESILA menyumbangkan hamper kepada mereka. Semoga jodoh kekal hingga anak cucu!
· Sakit – PESILA juga turut dukacita dengan ahli dan keluarga mereka yang jatuh sakit. Dengan itu PESILA menghulurkan sedikit sumbangan wang kepada ahli dan keluarga mereka yang jatuh sakit pada tahun 2005. Mereka ialah ahli PESILA Eh Sau Chau Kelom, isteri Eh Sau Chau Kelom, isteri Sau Chau Roon (Kung), isteri Eh Sai Eh Kang, anak Eh Pon Awang Din dan Somphoan Nen Dong, anak Eh Choo Eh Klab, anak Eh Sau Chau Nau (Bua) dan Cham E Deng dan anak Nang Chen Da Eh Ren. Atas budi bicara para AJK, PESILA juga menghulurkan sedikit sumbangan kepada Setiausaha PIBG Sekolah Bahasa Thai/Dhamma, Ah Rin Alak (Beliau tidak boleh menjadi ahli PESILA kerana tertakluk kepada Akta Polis). Bagaimanapun, selain berterima kasih atas keprihatinan PESILA beliau sebaliknya menyumbangkan kembali wang sumbangan berkenaan kepada Tabung PIBG sekolah kita.
· Kematian – PESILA mengucapkan takziah kepada ahli-ahli yang telah kehilangan orang tua mereka sepanjang tahun 2005. Mereka yang kematian orang tua mereka ialah Eh Dang Ekelai, Eh Pon Perom, Eh Phon Eh Tim dan Sekprasert Chaipunya.
Aktiviti 98/99

